Sunday, September 14, 2008

Skuad Silat Negara Buru Lapan Pingat Emas Di Sukan Pantai Asia Di Bali



KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Skuad silat negara berazam membawa pulang sekurang-kurangnya lapan pingat emas pada temasya Sukan Pantai Asia yang julung kali diadakan dari 10 hingga 28 Okt di Bali, Indonesia.

Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Bahrin Ibrahim berkata beliau yakin pesilat negara mampu meraih lapan daripada 11 pingat emas yang dipertandingkan dalam sukan silat.

"Walaupun kejohanan ini pertama kali diadakan, saya yakin bahawa pesilat kita mampu untuk menguasai gelanggang dan membawa pulang lapan daripada 11 pingat emas yang ditawarkan untuk acara lelaki dan wanita," katanya ketika dihubungi Bernama, Rabu.

Bahrin berkata sasaran pingat emas itu adalah realistik kerana skuad silat negara sekarang mempunyai keupayaan untuk mencapai hasrat itu.

Skuad negara akan menghantar seramai 12 pesilat ke temasya sukan itu.

Antara pesilat lelaki negara yang akan menyertai kejohanan itu adalah Faizal Abdullah dan Ahmad Shahril manakala pesilat wanita adalah Wan Nurul Hidayu Wan Abdul Razak, Malini Mohd, Emy Lajip dan Mastura Sapuan.

Selain menyertai sukan silat pantai, Malaysia turut mengambil bahagian dalam sepaktakraw pantai, bola sepak pantai, bola tampar pantai, bina badan, 'woodball', renang maraton, jet ski, dan perahu layar.

Kejohanan Sukan Pantai Asia edisi pertama ini dijangka menarik penyertaan 45 negara yang menjadi anggota jawatankuasa Olimpik Asia (OCA).

-- BERNAMA

No comments: