Sunday, September 14, 2008

Skuad Sepak Takraw Pantai Negara Impikan Perak Di Bali



KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pingat perak menjadi taruhan skuad sepak takraw negara pada Sukan Pantai Asia yang julung kali diadakan dari 10 hingga 28 Oktober ini di Bali, Indonesia.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail berkata pasukan itu mempunyai harapan meraih sekurang-kurangnya satu pingat perak walaupun ini adalah kejohanan yang pertama bagi acara sepak takraw pantai.

"Kita tidak membuat sasaran pingat yang lebih tinggi kerana ini merupakan temasya sukan pantai Asia yang pertama," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ahmad berkata pasukan sepak takraw negeri Terengganu dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dipilih untuk mewakili negara manakala pasukan wanita pula diwakili oleh Skuad Elit Sepak Takraw Kebangsaan.

Menurut Ahmad seramai 30 orang skuad negara termasuk pegawai akan mewakili negara ke temasya tersebut.

Antara acara lain yang dipertandingkan pada temasya itu adalah Bola Sepak Pantai, Bola Tampar Pantai, Bina Badan, Woodball, Renang Maraton, Jetski dan Berlayar.

Sebanyak 45 negara anggota Jawatankuasa Olimpik Asia (OCA) dijangka mengambil bahagian.

-- BERNAMA

No comments: