Monday, September 22, 2008

Pemain tetap berlatih walaupun puasa


PEMAIN sepak takraw pantai negara giat berlatih di Kampung Baru, Sebarang Takir bagi menghadapi temasya di Bali bulan depan.


SKUAD sepak takraw pantai negara tidak mempunyai masa yang panjang untuk membuat persediaan bagi menghadapi temasya Sukan Pantai Asia 2008 di Bali, Indonesia bulan depan, lapor AZMI WAHAB.

Memandangkan kejohanan tersebut akan bermula pada 18 Oktober nanti, pemain terpaksa menjalani latihan sepanjang bulan Ramadan ini.

Jurulatih, Ahmad Nasir Muda memberitahu, dengan tempoh yang ada mereka tidak mempunyai pilihan selain mengerah tenaga di bulan puasa ini.

"Pemain sedang giat berlatih setiap hari kecuali hari minggu bagi menyesuaikan diri dengan keadaan dan memperkemaskan lagi rentak permainan masing-masing.

"Jika kita tak buat persediaan pada bulan ini tentu kita akan tergesa-gesa untuk membuat persediaan lepas Hari Raya nanti. Jadi mahu tidak mahu kami terpaksa berlatih," ujarnya kepada Kosmo! semalam.

Tambah Ahmad Nasir, sepanjang bulan Ramadan ini bentuk latihan lebih tertumpu kepada aspek taktikal dalam usaha untuk mengekalkan tahap kecergasan pemain.

Latihan harian itu berlangsung di pantai Kampung Baru, Seberang Takir di Kuala Terengganu.

Ujarnya antara latihan tersebut ialah membiasakan diri dengan tidak memakai kasut, latihan menimbang bola dan menyesuaikan diri dengan angin pantai yang merupakan cabaran kepada pemain pada kejohanan itu nanti.

Katanya, latihan akan dipertingkatkan selepas Aidilfitri dan mereka dijadual berangkat ke Bali pada 16 Oktober.

Kosmo!

No comments: