Sunday, September 14, 2008

Cari pengalaman berguna di Bali



TIADA tekanan yang diberikan kepada atlet negara yang akan membuat penampilan pertama pada Sukan Pantai Asia di Bali, Indonesia pada 18 hingga 20 Oktober depan.

Sebaliknya, kehadiran mereka sekadar untuk mencari pengalaman sekali gus boleh dijadikan ukuran sebelum menghadapi temasya edisi kedua di Oman dua tahun akan datang.

Ketua Kontinjen, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad (gambar) berkata, belum ada standard yang boleh digunakan untuk mengukur kemampuan atlet negara pada temasya sukan itu.

Begitupun usaha persatuan sukan tempatan menganjurkan kejohanan yang membabitkan sukan pantai mampu melahirkan lebih ramai atlet cemerlang pada masa hadapan.

Selain itu, mereka juga mengambil inisiatif sendiri untuk menubuhkan persatuan sukan pantai kebangsaan jika mahu melihat acara baru ini berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.

"Memandangkan ini adalah kali pertama temasya sukan ini diadakan kita tidak tahu setakat mana standard atlet-atlet negara dan negara-negara Asia yang lain.

"Atas alasan itu, adalah sukar untuk kami meletakkan sasaran atau jumlah pingat yang perlu dimenangi tetapi ia amat berguna untuk tempoh jangka masa panjang.

"Mungkin pada edisi kedua di Oman pada tahun 2010, kita ada sasaran khusus," kata Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan di pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam.

Pada edisi kali ini, Malaysia akan menyertai lapan daripada 16 acara sukan yang dipertandingkan dan kontinjen negara akan diwakili seramai 86 orang masing-masing 63 atlet dan 23 pegawai.

Acara yang akan disertai pula adalah kabadi, silat, bola sepak, sepak takraw, bina badan, triatlon, woodball dan bola keranjang.

Ibrahim berkata, setakat ini hanya ada beberapa persatuan sukan pantai yang bertaraf kebangsaan dan berdaftar dengan MOM.

Lantaran itu, mereka perlu menubuhkan persatuan induk dan berdaftar dengan MOM jika ingin melihat sukan ini terus maju dan beraksi di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, Ibrahim yang juga naib presiden MOM bercadang untuk menjadikan skuad bola sepak pantai bimbingan jurulatih Ismail Zakaria sebagai skuad kebangsaan.

Ini berikutan kejayaan mereka mencipta kejutan muncul juara Kejohanan Bola Sepak Pantai Piala Raja Muda Johor di Desaru bulan lalu.

Kosmo

No comments: