Friday, October 10, 2008

MOM masih tunggu, lihat

PENDEKATAN 'tunggu dan lihat' digunakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada penyertaan sulung Sukan Pantai Asia di Bali, Indonesia pada 18-26 Oktober ini, membabitkan 98 orang termasuk 70 atlit.

Malah, tiada sasaran pingat disasarkan pada temasya julung kali itu walaupun atlit negara bertanding dalam 12 acara daripada keseluruhan 19 yang dipertandingkan, antaranya triathlon, pelayaran, pencak silat, kabaddi, sepak takraw dan bola sepak.

"Ini adalah penyertaan kali pertama bukan saja atlit kita, tetapi juga kontinjen negara lain dalam temasya yang mempertandingkan pelbagai acara sukan. Jadi, sudah pasti segala-galanya terlalu asing.

"Kelayakan peserta dan pertandingan juga kali pertama diadakan dan kita tidak tahu standard yang ditetapkan," kata Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar semalam.

Nada yang sama turut dinyatakan Naib Presidennya yang juga chef-de-mission negara, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad yang mengakui temasya itu hanya dijadikan medan pendedahan atlit negara untuk menghadapi kejohanan kedua di Oman, 2010.

Terdahulu, Tunku Imran menyampaikan Jalur Gemilang kepada Dr Ibrahim sebagai mewakili kontinjen negara yang bakal berlepas secara berperingkat-peringkat, bermula Rabu ini.

Pada masa sama, Tunku Imran turut mengingatkan kontinjen negara menjaga disiplin dan mengamalkan nilai Olimpik termasuk tidak menipu ketika bertanding, menghormati undang-undang, mempunyai semangat kesukanan dan penyertaan berpasukan.

BH

No comments: