Friday, October 10, 2008

70 Atlet Negara Berentap Dalam Sukan Pantai Asia Di Bali

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Seramai 70 atlet Malaysia akan mengambil bahagian dalam kejohanan sulung Sukan Pantai Asia (ABG) yang akan berlangsung di Bali, Indonesia dari 18 hingga 26 Okt.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar berkata walaupun tidak meletakkan sebarang jumlah pungutan pingat, kontinjen itu dinasihatkan supaya menjunjung semangat kesukanan sepanjang masa kejohanan berlangsung.

"Memandangkan semua atlet masih baru kepada kejohanan antarabangsa yang unik ini, mereka perlu menampilkan tahap disiplin yang tinggi, permainan yang adil dan saling menghormati," kata Tunku Imran, yang juga anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dalam persidangan berita selepas menghadiri majlis penyerahan bendera kepada Chef-de-mission kontinjen, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad di Wisma OCM, si sini hari ini.

Sementara itu Ibrahim berkata 70 atlet yang terdiri daripada 44 atlet lelaki dan 26 wanita, akan bersaing dalam 12 daripada 19 acara sukan yang ditampilkan dalam sukan itu.

Dua belas sukan yang akan disertai mereka ialah handball, kabaddi, pencak silat, bola sepak, sepak takraw, bola tampar, bina badan, paragliding, triathlon, windsurfing, woodball dan bola keranjang, yang menawarkan 48 pingat emas.

Ibrahim berkata kontinjen itu mensasarkan untuk meraih pengalaman daripada kejohaan ini sebagai persediaan untuk Sukan Pantai Asia akan datang di Oman pada 2010.

Selain Malaysia, kejohanan itu akan disertai oleh 44 negara lain di bawah Majlis Olimpik Asia.

Kejohanan itu akan berlangsung di pantai terkemuka di Indonesia -- Pantai Kuta, Nusa Dua, Pantai Sanur dan Pulau Serangan.

-- BERNAMA

No comments: