Thursday, October 23, 2008

Woodball, silat sumbang emas


Daripada Lokman Zainal Abidin di Bali, Indonesia
lockman@nstp.com.my
SELEPAS empat hari, akhirnya kontinjen Malaysia sudah mampu untuk mengukir senyuman lebih bermakna apabila berjaya mengumpul dua emas, dua perak dan tiga gangsa pada temasya Sukan Pantai Asia pertama yang sedang berlangsung di Bali, Indonesia.

Emas pertama kontinjen Malaysia disumbangkan skuad woodball lelaki yang dianggotai Syed Bakar Osman, Ariffin Mamat, Jamil Mat Ali, Shahnudin Ngah, Abdullah Ahmad dan Azmi Ahmad cemerlang apabila mengumpul 1,398 mata keseluruhan, sekali gus mengatasi Thailand yang mengumpul 1,416 dan Taiwan, ketiga 1,426.

Kilauan emas turut hadir di gelanggang silat menerusi Faizal Abdullah yang mengungguli kelas H Putera dan menundukkan pesilat Thailand pada perlawanan akhir manakala bagi kategori kelas A Puteri, Rina Jordana Adnan memenangi perak selepas ditewaskan pesilat Vietnam.

Dua gangsa yang dipungut semalam turut dihadirkan pesilat negara iaitu gandingan Mohamad Hafiz Mohamad Aris dan Mohamad Helmi Aziz menerusi kategori ganda Putera manakala Mohamad Hafiz Mahari memastikan satu lagi gangsa dalam kelas A Putera.

Dua emas itu pantas menceriakan kem negara yang sebelum ini sedikit lesu dan Chief de Mission, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, berkata kutipan itu cukup membanggakan kerana temasya Sukan Pantai Asia itu adalah yang pertama kali diadakan.

“Untuk aksi pertama, ini sudah boleh dikira sesuatu yang cukup memberangsangkan. Saya gembira kerana akhirnya Malaysia tidak akan pulang dengan tangan kosong. Walaupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak meletakkan sebarang sasaran, tetapi atlit kita berjaya membuktikan bahawa kita mampu untuk menghadirkan pingat,” katanya.

Pengurus skuad woodball kebangsaan, Suhaimi Mohd Yunus berkata, pihaknya memang mensasarkan emas untuk kategori lelaki berpasukan kerana semua pemainnya pernah mendapat beberapa pendedahan di peringkat antarabangsa walaupun kali ini, mereka terpaksa beraksi di atas pasir pantai lebih mencabar.

No comments: