Thursday, October 23, 2008
Faizal tak sangka
“SELEPAS menundukkan juara dunia dari Vietnam di separuh akhir, saya mula berasakan bahawa saya mampu untuk memenangi emas. Tahap keyakinan saya semakin bertambah dan hasilnya, emas yang saya idamkan kini berada di genggaman,” kata Faizal Abdullah yang mengungguli emas kelas H putra pada temasya Sukan Pantai Asia pertama di Bali, Indonesia, semalam.
Asalnya, Faizal bukanlah pesilat pilihan untuk memenangi emas sebaliknya sandaran untuk membawa pulang pingat berkenaan diletakkan di bahu Rina Jordana Adnan yang bertanding dalam acara kelas A Puteri. Begitupun, Rina tetap tidak mengecewakan apabila memenangi perak acara itu.
Faizal yang berusia 28 tahun dan berasal dari Johor itu mengakui bahawa dia sendiri bagaikan tidak percaya apabila mampu memenangi emas tambahan pula dia menundukkan pesilat Thailand dengan kiraan mata 4-1, sekali gus membuktikan kejaguhannya tidak boleh dipertikaikan.
“Memang beraksi di atas pasir pantai yang tebal ini memerlukan stamina serta tenaga yang bukan sedikit. Kami berdepan banyak masalah untuk melancarkan serangan ke atas lawan kerana kerap kali kaki akan terbenam di dalam pasir. Begitupun, saya mengambil sikap yang positif kerana bukan kami saja berdepan masalah itu, tetapi juga lawan.
“Saya amat gembira kerana dapat membawa pulang emas kali ini dan ia akan menjadi pendorong kepada saya untuk terus beraksi dengan lebih baik pada masa akan datang,” kata Faizal.ang mula dikesan bakatnya selepas mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.
Sementara itu, pengurus pasukan, Ab Rauf Abdullah berkata, walaupun sistem pengadilan acara berkenaan tidak begitu memuaskan, beliau bersyukur kerana anak buahnya mampu menangkis setiap asakan lawan dan kemaraan Faizal dan Rina ke perlawanan akhir membuktikan bahawa cabaran Malaysia di dalam acara itu tidak boleh dipersoal.
“Memang sistem pengadilan nampak berat sebelah tetapi saya gembira kerana pesilat kita dapat melayakkan diri ke peringkat akhir,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment