Thursday, December 2, 2010

Sazali harapan pingat emas


SELVARAJ (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Sazali pada majlis penyerahan di Wisma MOM, Kuala Lumpur semalam.


KONTINJEN Malaysia meletakkan harapan pada atlet bina badan negara, Sazali Abd. Samad untuk merangkul pingat dalam temasya Sukan Pantai Asia Kedua di Oman dari 8 hingga 16 Disember ini.
Sazali tersenarai sebagai atlet tunggal skuad kebangsaan dalam acara 70 kilogram itu pada temasya kali kedua ini.

Untuk rekod, temasya Sukan Pantai Asia pertama kali diadakan pada 2008 lalu di Bali dan sebanyak 19 acara dipertandingkan yang melibatkan 45 pasukan dari seluruh negara.

Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk James Selvaraj juga tidak menafikan kehebatan skuad sukan perahu layar, luncur angin dan ski air negara untuk bertarung dengan pasukan antarabangsa lain.

“Walaupun kebanyakan mereka masih lagi pasukan pelapis untuk skuad elit kebangsaan, namun prestasi yang ditunjukkan adalah di tahap yang membanggakan dan kita harapkan mereka melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara.

“Kali ini cuma 23 orang atlet sahaja bakal mewakili negara ke temasya ini berbanding 70 orang sebelumnya,” katanya ketika ditemui selepas Upacara Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia semalam.
Sementara itu, Sazali yang sudah mula menjalani latihan persediaan untuk berentap bersama jagoan dunia lain akui pesaingnya bukan calang-calang.

Baginya, pesaing terdekat seperti Indonesia, Thailand dan Myanmar adalah yang paling sukar diduga dan berupaya memberikan saingan sengit.

“Saya tidak boleh memandang rendah setiap pesaing saya, malah perlu sentiasa bersedia kerana kese- muanya mempunyai kekuatan tersendiri terutama atlet tuan rumah.”


Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
sukan@kosmo.com.my

No comments: