Sunday, October 18, 2009

Juara milik Terengganu, Sabah


PASUKAN Terengganu meraikan kejayaan mereka muncul juara kategori lelaki pada
Kejohanan Bola Sepak Pantai FAM 2009 di Pantai Teluk Chempedak semalam.


TERENGGANU muncul juara kategori lelaki manakala Sabah juara wanita sekali gus meraih hadiah wang tunai RM10,000 pada Kejoha- nan Bola Sepak Pantai FAM 2009 yang berlangsung di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan semalam.

Selepas mengharungi kejohanan tiga hari anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama ProMedia itu, Terengganu terus cemerlang apabila berjaya membelasah Kedah 8-2 pada perlawanan akhir.

Sementara dalam kategori wanita pula, Sabah berjaya menundukkan Perlis 2-0 pada perlawanan akhir hasil jaringan Rachel Paul dan Surina Abd. Akub.

Bagi jurulatih skuad lelaki Terengganu, Zubir Salleh, keinginan dan keghairahan pemainnya untuk muncul juara sulung kejohanan peringkat kebangsaan itu menjadi kunci kejayaan mereka.

"Kami memang meletakkan sasaran untuk menjadi juara tetapi tidak sangka pula boleh menang besar pada perlawanan akhir ini kerana Kedah juga pasukan yang kuat.

"Kami telah berlatih selepas hari raya lalu di Primula Beach Resort, Pantai Batu Burok.

"Insya-Allah kami akan cuba untuk mempertahankan kejuaraan ini pada tahun depan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Empat pemain Terengganu merupakan pemain skuad bola sepak pantai kebangsaan iaitu ketua pasu- kan, Hamidi Alias, Khairul Azizi Norwawi, Abdullah Md. Noor dan Mohd. Khairulnizam.

Terdahulu, Terengganu muncul juara Kumpulan C sebelum mereka berjaya menewaskan Pahang 9-1 (suku akhir) dan Kuala Lumpur 5-4 pada separuh akhir.


SKUAD wanita Sabah bergambar kenangan dengan Sultan Ahmad Shah selepas muncul juara kategori wanita Kejohanan Bola Sepak Pantai FAM 2009.


Sementara itu, jurulatih skuad wanita Sabah, Laini Ahing tidak me- nyangka pasukan bimbingannya itu akan muncul juara kerana mereka hanya sempat berlatih seminggu sebelum kejohanan bermula.

"Pemain kami hanya terdiri dari- pada gabungan pemain bola sepak padang dan futsal. Mereka ini orang- orang lama yang semuanya sudah bermain lebih lima tahun.

"Kami turun selaku underdog pada perlawanan akhir ini kerana Perlis telah menewaskan kami 5-2 pada aksi peringkat kumpulan. Mungkin mereka terlalu yakin dan kami akhirnya dapat membalas dendam," katanya.

Sabah merupakan naib juara Kumpulan B sebelum berjaya menewaskan Kuala Lumpur 2-1 (suku akhir) dan Kedah 2-1 pada separuh akhir.

Dalam pada itu, Pemain Terbaik Perlawanan Akhir menjadi milik pemain Terengganu, Hamidi Alias (kategori lelaki) dan pemain Sabah, Surina Abd. Akub (kategori wanita).

Manakala Penjaring Terbanyak dimenangi pemain Terengganu, Zaharim Yusof (kategori lelaki) dengan sembilan gol dan pemain Perlis, Nurul Ashikin Mohd. Juzi (kategori wanita), 12 gol.

Hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden FAM.

"Jika kejohanan ini mahu diadakan di Kuantan sekali lagi tahun depan, kami di sini akan memberi sokongan sepenuhnya.

"Harap ProMedia terus memberi sumbangan dalam penganjuran kejohanan bola sepak pantai ini," titah baginda selepas upacara penyampaian hadiah tersebut.

No comments: