|
|
KOSMO! AHAD: Pertama sekali, boleh ceritakan serba sedikit bagaimana saudara boleh terlibat dalam skuad bola sepak pantai kebangsaan?
ISMAIL: Sebenarnya saya dilantik sebagai jurulatih bola sepak pantai kebangsaan pada Jun tahun lepas. Tugas saya ialah mewujudkan satu pasukan kebangsaan untuk Kejohanan Jemputan Piala Raja Muda Johor di Desaru. Sejak itulah saya terus diberi kepercayaan hingga ke hari ini. Dalam masa yang sama, saya masih menggalas jawatan tetap sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sejak tahun 2002.
JADI apakah yang saudara lihat dengan adanya penganjuran Tower Beach Soccer Langkawi 2009 ini?
SEBANYAK 64 pasukan akan turun beraksi. Jadi, mustahil tiada pemain hebat yang akan kita jumpa nanti. Saya akan ke Langkawi bersama dua panel kejurulatihan, Rus- di Suparman dan Maizal Hairi Marzuki untuk menilai aksi semua pemain sepanjang tiga hari kejoha- nan. Dari situ, seramai 30 pemain terbaik akan dipilih untuk menyertai latihan pusat skuad kebangsaan.
APAKAH sebenarnya kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang pemain bola sepak pantai?
DARI segi fizikal, seseorang pemain itu perlu memiliki betis yang kecil. Tak boleh ada betis yang besar, nanti berat dan lambat untuk buat pergerakan kerana kita bermain di atas pasir. Selain itu, pemain perlu memiliki kemahiran pengawalan bola yang baik dan mampu membuat sepakan-sepakan libas. Pemain yang kita ada tahun lepas, kurang mempunyai aspek-aspek ini.
ADAKAH ini bermakna pemain-pemain yang mewakili negara tahun lalu tidak bagus?
Mereka masih mampu mempamerkan aksi yang baik pada dua kejohanan yang kita sertai tahun lepas. Cuma dengan adanya lebih pilihan pemain selepas ini, saya jangka kita mampu pergi lebih jauh pada peringkat antarabangsa. Tahun lepas, saya hanya ada 15 pemain. Kesemua mereka itu akan turut beraksi dengan pasukan berlainan di Langkawi nanti. Hanya yang terbaik akan saya pilih semula untuk menyertai senarai 30 pelatih kebangsaan nanti.
TAHUN lepas kita sertai dua kejohanan saja. Bagaimana pula untuk tahun ini?
SAYA akan kumpul 30 pemain terbaik itu nanti untuk latihan pusat selama tiga minggu. Kemudian yang terbaik akan dipilih untuk menyertai Kejohanan Piala Raja Muda Johor kali kedua di Desaru bulan depan. Selepas itu, kita akan sertai pula sirkit bola sepak pantai Asia Tenggara (ASEAN). Bermula Jun di Phuket (Thailand), kemudian di Vietnam, Bali dan penghujung tahun nanti di Malaysia.
JADI apakah sasaran saudara untuk hala tuju sukan bola sepak pantai ini pada masa akan datang?
SAYA berani letak sasaran, dalam tempoh tiga tahun ini, Malaysia mampu untuk berada di kedudukan lima pasukan terbaik Asia. Cuma apa yang perlu, kejohanan peringkat kebangsaan seperti Tower Beach Soccer Langkawi 2009 ini perlu diperbanyakkan. Barulah pemain- pemain bola sepak pantai di negara ini akan sentiasa berlatih dan mempunyai pengalaman beraksi dalam kejohanan rasmi.
No comments:
Post a Comment